IPOH – Sebanyak 4,850 liter minyak diesel yang diseleweng ditemui di sebuah kilang pemprosesan makanan di Kawasan Perindustrian Menglembu di sini oleh sepasukan anggota dan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Perak semalam.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Perak selama dua minggu di sekitar Ipoh.
Beliau berkata, risikan dan pemantauan terhadap kilang itu mendapati modus operandi penyelewengan minyak diesel itu adalah dengan menggunakan sebuah lori tangki pemborong yang menghantar barang kawalan tersebut ke premis berkenaan.
“Premis tersebut disyaki tidak mempunyai kebenaran menyimpan barang kawalan oleh Pengawal Bekalan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas premis mendapati, premis tersebut juga disyaki menyimpan beberapa barang kawalan lain seperti minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) untuk operasi kilang,” katanya di sini hari ini.
Menurut Kamalludin, hasil pemeriksaan menemukan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 4,850 liter di dalam tangki lori dan di dalam sebuah tong drum, enam tong LPG 50 kilogram (kg) di dalam premis serta 102 botol minyak masak (5kg) dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM92,7355.50.
Beliau berkata, siasatan lanjut juga mendapati premis menjalankan aktiviti membungkus produk makanan dengan menggunakan alat timbang yang digunakan telah tamat tempoh tentusah. – KOSMO! ONLINE