TORONTO, KANADA – Hujan lebat dan ribut yang membadai Toronto semalam menyebabkan lebih 167,000 penduduk terputus bekalan elektrik, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Agensi yang bertanggungjawab menyelaras dasar dan program alam sekitar, Environment Canada melaporkan bahawa hampir 110 millimeter hujan turun di Toronto. Ia sekali gus mengatasi rekod harian yang ditetapkan pada 1941.
Banjir yang tercetus daripada hujan lebat turut menyebabkan beberapa kenderaan di bandar itu terkandas di jalan yang ditenggelami air, berhampiran Jambatan Dundas.
Penyanyi rap terkenal, Drake memuat naik video di platform Instagram memaparkan sebahagian rumahnya di Toronto, turut ditenggelami air.
Menurut syarikat penyedia utiliti, Toronto Hydro, ribut itu mengakibatkan lebih 167,000 penduduk terputus bekalan elektrik, manakala penerbangan terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan dari Lapangan Terbang Billy Bishop, Kepulauan Toronto di Tasik Ontario.
“Sekurang-kurangnya 14 mangsa berjaya diselamatkan dan salah seorang daripadanya terselamat selepas anggota penyelamat mencabut bumbung kereta mereka,” kata pihak berkuasa. – AGENSI