Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyenaraikan 100 saintis bioteknologi untuk mengadakan program turun ke 100 sekolah.
Anwar berkata, usaha tersebut untuk menarik lebih ramai pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Peratusan pelajar yang mengikuti pendidikan aliran STEM menunjukkan penurunan dan ini sangat membimbangkan.
“Sehubungan itu, 100 saintis ini akan turun ke sekolah di bandar dan luar bandar untuk berjumpa pelajar sekurang-kurangnya sebulan sekali, dua atau tiga jam bagi memberi pendedahan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Tambahnya, program bersama saintis itu memberi manfaat besar kepada pendidikan STEM negara, sekali gus meningkatkan minat pelajar dalam bidang ini. – KOSMO ONLINE