SEREMBAN – Sebuah lokasi dihuni warga asing di pinggir bandar di sini digempur Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sembilan, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Lokasi tersebut turut menjadi ‘syurga’ transit buat warga asing yang tidak bekerja dan telah dihuni secara haram sekurang-kurangnya sejak lapan tahun lalu dengan bayaran sewa RM50 semalam.
Sebelum ini, lokasi berkenaan pernah digempur pada 2009 namun kembali menjadi penempatan haram dengan bekalan air dan elektrik.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, penempatan seluas 2,705 meter persegi itu dahulunya merupakan kawasan tempat tinggal bagi pekerja warga asing sektor pembinaan.
Bagaimanapun menurutnya, penempatan yang dilihat agak padat dan kotor tersebut tetap dihuni oleh warga asing walaupun projek pembinaan telah selesai.
Ujar Kennith, semasa serbuan dilakukan oleh seramai 180 anggota dari pelbagai agensi itu, terdapat cubaan warga asing untuk melarikan diri, namun hasil operasi berjaya membawa kepada pemeriksaan ke atas 69 warga asing.
Sementara itu, hasil tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati, penempatan yang agak tersorok itu mempunyai beberapa laluan masuk yang berpalang serta akan dirantai pada waktu tertentu selain terdapat longgokkan minyak masak peket di salah sebuah bilik.- KOSMO! ONLINE