PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik pengumuman Kementerian Komunikasi yang menawarkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga tidak melebihi RM30 dengan permulaan data minimum sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kerjasama strategik dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat ialah sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani bagi menangani peningkatan kos sara hidup.
Katanya, ia khususnya bagi membantu golongan pelajar mendapatkan liputan komunikasi dan internet lebih baik semasa sesi pengajian dan pembelajaran.
“Dalam Pakej Rahmah Prabayar Siswa, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang pembayaran, tetapi syarikat telekomunikasi bermurah hati untuk mengurangkan caj kepada mahasiswa.
“Bagi pihak KPT, saya merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan, Kementerian Komunikasi, syarikat telekomunikasi terlibat dan semua pihak yang prihatin untuk membantu mengurangkan beban mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE