PETALING JAYA – “Jangan silap lagi, saya akan kembali semula.”
Demikian perkongsian penyanyi dan pelakon Aliff Aziz yang memberi bayangan mahu membuat kemunculan dengan imej lebih luar biasa.
Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz, 33, berkata, dia kini berusaha mendapatkan kembali tubuh sasa seperti beberapa tahun dulu.
“Stronger and wiser (lebih kuat dan bijak), insya-Allah,” ujarnya dalam hantaran sama.
Hasrat aktor sensasi terbabit diluahkan menerusi Instagram Story dengan menunjukkannya klip video lama di sebuah gimnasium yang pernah dikongsi dalam TikTok.
Dalam paparan tersebut, penyanyi lagu Sayang Sayang yang mengenakan baju singlet hitam itu sedang menelek bentuk badannya di depan cermin.
Begitupun, tidak dapat dipastikan sama ada tujuan ingin kembali bertubuh sado sama ada disebabkan tuntutan watak dalam drama atau demi kepuasan diri.
Sebelum ini, pelakon asal Singapura itu teruk dihentam netizen susulan kontroversi kes khalwat dengan Ruhainies selain pergolakan rumah tangganya dengan Bella Astillah.
Pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata itu bercerai pada 13 Jun lalu selepas lapan tahun bergelar suami isteri.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. – KOSMO! ONLINE