ANAK Krisdayanti, Aurel Hermansyah akhirnya melancarkan single berjudul Aku Juga Manusia bertepatan ulang tahun ke-26 pada 10 Julai lalu.
Istimewanya, lagu ciptaan suaminya sendiri, Atta Halilintar itu memiliki makna mendalam yang mencerminkan kehidupan peribadi Aurel sebagai ibu dua anak.
Akui Atta yang juga pempengaruh terkenal, inspirasi lagu bersandarkan pengalaman isterinya berdepan kritikan netizen.
Menurutnya, kutukan tentang penampilan insan kesayangannya itu diubah menjadi bait indah yang mampu menyentuh hati ramai.
“Ini karya yang mengambil banyak cerita golongan ibu terutama isteri saya yang menceritakan hal hidup tanpa harus adanya klarifikasi menjadi diri sendiri,” katanya.
Single tersebut dikatakan sebagai simbolik kembalinya Aurel ke arena muzik selepas sekian lama menyepi bagi memberi tumpuan terhadap keluarga.