KEMAMAN – Remaja lelaki yang termakan biskut beracun di sebuah kebun di Kampung Air Putih, di sini pada Jumaat lalu mendakwa mengambil makanan itu kerana tertarik selepas melihat banyak tergantung di sepanjang pagar tanpa mengetahui ia beracun.
Mohd. Daynail Haikal Alias, 13, mendakwa, meskipun sudah kenyang setelah makan tengah hari sebelum itu, dia teringin untuk merasai biskut yang digantung berikutan warna dan bentuknya yang dianggap lain dari yang lain.
“Saya benar-benar tidak tahu biskut itu beracun. Kalau tahu, memang saya tidak akan ambil dan makan.
“Lagipun, saya memang tidak pernah tengok biskut digantung pada pagar kebun. Saya juga jarang ke kebun dan pertama kali lihat biskut bergantung,” katanya ketika ditemui di Kampung Air Putih hari ini.
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Dadong itu berkata, ketika kejadian, dia bersama rakannya mahu pergi memancing selepas selesai menjalani latihan memanah di sekolah.
Mohd. Daynial memberitahu, dia kemudian meludah cebisan biskut yang digigitnya apabila lidahnya mula terasa masam.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia tidak menyedari apa yang berlaku ke atas dirinya sehingga tersedar ketika berada di hospital Jumaat lalu.
“Sepanjang dirawat di hospital, saya terasa pening kepala, namun sekarang sudah mulai pulih. Esok saya perlu ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya yang dibenarkan keluar hospital hari ini.
Sementara itu, ibunya, Roslina Ahmad, 52, berkata, dia tidak dapat menahan sebak apabila melihat empat kali anaknya kekejangan seperti diserang sawan ketika dirawat di Klinik Kesihatan Air Putih dan Hospital Kemaman.
“Saya tengok mulut anak berbuih dan anggota badannya kejang. Saya hanya mampu berdoa supaya Allah panjangkan umur anak alhamdulillah dimakbulkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE