JAKARTA – Seorang lelaki tergamak menembak mati seekor kucing kerana berang burung merpati peliharaannya diterkam haiwan itu, lapor laman berita Detik hari ini.
Lelaki yang hanya dikenali sebagai IP, 35, ditahan polis selepas menembak kucing itu di Kota Semarang, wilayah Jawa Tengah.
Menurut Ketua Polis Semarang, Komisioner Besar Irwan Anwar, suspek bertindak demikian semalam sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan).
“Sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan), pemilik kucing dihubungi oleh saksi yang mengatakan haiwan peliharaannya ditembak oleh suspek.
“Perbuatannya dirakam oleh kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan dia menggunakan ‘soft gun’ sehingga menyebabkan kucing itu mati,” katanya.
Tambah Irwan, polis Semarang Barat yang mendapat laporan daripada orang ramai mengenai insiden tular di media sosial itu dengan segera menahan suspek.
“Berdasarkan keterangan suspek, dia mengaku menembak kucing itu kerana haiwan tersebut membuang air besar di rumahnya.
“Kucing itu juga pernah menerkam burung merpati miliknya, selain suspek mengaku dia menembak haiwan tersebut sebanyak tiga kali,” jelas Irwan.
Terdahulu, sebuah video rakaman CCTV menjadi tular di media sosial selepas memaparkan suspek dan dua lelaki lain di hadapan sebuah rumah.
Suspek yang memakai baju kucing dilihat berjalan ke arah sebuah kereta di hadapan rumah lalu menunduk ke bawah kereta sambil diperhatikan oleh dua rakannya.
Dia yang memegang sepucuk pistol ‘soft gun’ kemudian melepaskan tembakan ke arah kucing yang berada di bawah kereta sebelum haiwan itu bertempiaran lari keluar.
Kucing hitam itu kemudian rebah beberapa meter dari kenderaan. – AGENSI