JAKARTA – Seorang wanita terpaksa melahirkan anak di dalam kereta selepas diberitahu tiada bidan yang bertugas apabila tiba di pusat bersalin di Indonesia, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @dhemit_is_back, wanita yang sarat mengandung itu dilihat terbaring di tempat duduk belakang.
Dia kemudian bersalin dengan bantuan oleh dua wanita lain.
“Bersalin di dalam kereta, tidak ada petugasnya sama sekali.
“Rumah (pusat) bersalin tetapi tidak ada orangnya? Macam mana? Ada orang melahirkan anak sampai di dalam kereta,” kata perakam video itu.
Kejadian berlaku di hadapan Rumah Bersalin Puskesmas Pembantu Sarongan di Kecamatan Pesanggaran, wilayah Jawa Timur pada Khamis lalu.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih lebih 301,000 tontonan. – AGENSI