LONDON – Pelancaran jersi utama baharu Chelsea untuk saingan musim depan mencetuskan reaksi pelbagai daripada para peminat pasukan itu.
Musim depan menyaksikan Chelsea menggunakan khidmat pengendali baharu untuk kedua-dua pasukan lelaki dan wanita mereka dengan Enzo Maresca menguruskan skuad lelaki, manakala Sonia Bompastor mengemudi pasukan wanita.
Bagi persiapan musim baharu, Chelsea telah meluncurkan jersi baharu tajaan Nike dengan corak yang dianggap lain daripada kebiasaan sehingga menjadi tumpuan para peminat.
Mengekalkan penggunaan warna biru yang menjadi tema kelab tersebut, ia turut mengenakan corak ‘api’ sebagai simbol keinginan menyatukan seluruh kelab dalam mengejar kejayaan di dalam dan luar padang.
Bagaimanapun, tidak semua peminat yang memahami perubahan yang cuba dilakukan oleh pihak pengurusan kelab itu apabila sebahagiannya seakan tidak bersetuju dan mengecam pemilihan corak tersebut sebagai jersi utama mereka musim depan.
“Ini adalah jersi paling buruk yang pernah kami ada. Saya tak mampu mengatakan apa-apa, sangat buruk dan saya tak mampu untuk melihatnya,” kata seorang peminat Chelsea.
Namun, jersi terbaharu itu turut menerima pujian daripada peminat yang lebih terbuka dan positif serta menganggap ia lebih sesuai apabila dikenakan oleh pemain.
“Ia lebih baik apabila disarung oleh pemain. Saya tidak menghiraukan pendapat orang, bagi saya ia cantik. Saya pasti akan membelinya,” jelas seorang peminat. – AGENSI