KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan, bukan bertujuan memfitnah Lim Guan Eng sebaliknya ia merupakan penjelasan kepada pihak media berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.
Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau hanya menjawab soalan sekumpulan wartawan bagi menjelaskan kedudukannya selepas dipanggil memberi keterangan kepada SPRM pada 9 Mac 2023.
Ujar beliau, penerangan kepada media adalah berkaitan isu projek Jana Wibawa serta pembatalan pengecualian cukai terhadap yayasan kebajikan tersebut, iaitu jawapan yang sama diberikan kepada pihak SPRM ketika siasatan
“Projek Jana Wibawa adalah kontrak untuk membantu syarikat bumiputera semasa pandemik COVID-19 manakala yayasan itu memohon kepada saya supaya pengiktirafan pengecualian cukai dapat diberikan semula.
“Saya telah diberitahu bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf kelulusan pengecualian cukai yang diberikan dahulu. Jadi, semasa saya berjawatan Perdana Menteri, yayasan itu membuat rayuan kepada saya.
“Oleh itu, saya tidak berniat untuk menuduh atau memfitnah sesiapa atau sengaja mencapai publisiti murahan mahupun bertujuan mengalih perhatian awam terhadap siasatan SPRM,” ujar beliau dalam pernyataan saksinya.
Bekas Perdana Menteri memberi keterangan pada perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Guan Eng terhadap beliau atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai ke atas organisasi berkenaan.
Muhyiddin menjelaskan, yayasan tersebut telah diberi kelulusan pengecualian cukai ketika pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) namun pihak LHDN yang mana Guan Eng ketika itu Menteri Kewangan (zaman Pakatan Harapan) membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf pengecualian cukai itu.
“Yayasan itu tidak perlu membuat rayuan kepada saya semasa pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika pengecualian cukai itu masih diiktiraf LHDN,” ujar beliau.
Ujar Muhyiddin, surat rayuan daripada yayasan berkenaan diterima di antara 5 Februari 2021 dan 8 Februari 2021 menyatakan pengecualian cukai diberikan di antara 2016 hingga 2018 namun LHDN ingin mengenakan semula cukai tambahan.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain bersambung esok. – KOSMO! ONLINE