LONDON – England kini mengintai empat pengendali baharu yang berpotensi menggantikan posisi Gareth Southgate seandainya keputusan untuk meninggalkan posisi ketua jurulatih negara itu menjadi kenyataan.
Sebagai rekod, England terpaksa berputih mata dalam usaha menamatkan penantian 58 tahun untuk menjulang trofi antarabangsa sejak 1966 selepas tewas 1-2 kepada Sepanyol pada aksi final Euro 2024 kelmarin.
Sebelum Euro berlangsung, Southgate pernah mendedahkan hasratnya untuk melepaskan jawatan jika gagal membantu The Three Lions menamatkan kemarau kejuaraan pada kempen kali ini.
Namun, selepas aksi final, pengendali berusia 54 tahun itu mahu memikirkan semula masa depannya kerana masih terikat kontrak bersama Persatuan Bola Sepak (FA ) England sehingga 2026.
Peminat bola sepak England berbelah bahagi sama ada mahu Southgate kekal atau digantikan dengan pengendali baharu yang mempunyai falsafah bola sepak yang lebih moden.
Antara pengendali yang dikaitkan ketika ini adalah Graham Potter, Mauricio Pochettino, Eddie Howe dan Pep Guardiola.
Potter dan Pochettino menjadi sasaran utama memandangkan kedua-dua bekas pengendali Chelsea itu bergelar ejen bebas selain boleh memulakan tugas serta-merta jika Southgate meletak jawatan.
Bagaimanapun, Howe terikat dengan Newcastle United, manakala Guardiola masih memiliki kontrak bersama Manchester City hingga tahun depan. – AGENSI