PETALING JAYA – Bintang sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim antara pemain paling terkesan dengan keputusan Kim Pan-gon untuk melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih berkuat kuasa hari ini.
Menerusi perkongsian di laman Story Instagram peribadi, Faisal yang mesra dengan gelaran Mickey mengakui sedih dengan keputusan itu kerana ketua jurulatih Korea Selatan itu antara individu yang banyak membentuk gaya permainannya.
Menurut Faisal, kali terakhir dia berjumpa Pan-gon ketika berada di hospital selepas menjadi mangsa asid dengan pengendali itu memberi kata-kata semangat kepadanya.
“Berita yang sangat menyedihkan saya. Masih ingat dua bulan lepas jurulatih datang ke hospital dan berikan saya sokongan dan kekuatan.
“Jurulatih duduk dekat saya, Faisal saya ingin melihat anda kembali kuat untuk pasukan kebangsaan
“Saya akan memberi sokongan dan yakinkan saya yang saya akan menjadi lebih kuat. Terima kasih untuk segalanya,” katanya di laman sosial.
Buat masa ini, Faisal ketika ini sedang menjalani proses rawatan selepas dia diserang oleh dua individu yang menyimbah asid ke arah badannya pada Mei lalu.
Sementara itu, Pan-gon mengesahkan hasrat untuk letak jawatan atas persetujuan bersama menerusi sidang media khas hari ini tetapi tidak mendedahkan alasan sebenar disebalik keputusan tersebut dibuat. – KOSMO! ONLINE