fbpx

PPZ-MAIWP terima RM55.46 juta zakat perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NA'IM, memegang replika cek pembayaran zakat bergambar bersama wakil-wakil syarikat pada Majlis Zakat Korporat di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah kira-kira RM55.46 juta daripada 25 syarikat dalam Majlis Zakat Korporat 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kutipan zakat PPZ-MAIWP telah meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM511 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding RM462 juta dalam tempoh sama pada 2023.

Katanya, RM75 juta (15 peratus) daripada jumlah tersebut adalah daripada kutipan zakat perniagaan.

“Ini sekali gus membuktikan bahawa zakat terus dilihat sebagai kewajipan utama yang perlu dilaksanakan.

“Ia juga menunjukkan hebahan berzakat telah mencapai sasaran dan diharapkan lebih banyak syarikat-syarikat yang akan berbuat demikian di masa yang akan datang,” katanya pada majlis tersebut.

Penyerahan zakat perniagaan tersebut disampaikan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, selaku menteri, beliau akan memastikan PPZ dan MAIWP dapat menjalankan fungsinya dengan baik dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dalam melaksanakan Rukun Islam.

Tambahnya, sebanyak RM577 juta zakat diagihkan kepada penerima dari Januari hingga 30 Jun tahun ini.

“Agihan ini dibuat melalui 38 skim bantuan yang telah diperkenalkan oleh MAIWP,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI