KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang melihat kembali perjanjian sedia ada berkaitan penjualan air mentah kepada Singapura.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata demikian ketika mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Malaysia memberi ‘subsidi’ kepada Singapura dengan menjual air mentah sebanyak 250 juta gelen sehari dengan kadar hanya tiga sen (SG$1 sen) untuk setiap 1,000 gelen sejak 1962.
“Kena tanya balik Tun M (Dr. Mahathir)..Ketika dia jadi perdana menteri dulu, benda itu masih berlaku kan?
“Jadi, sama ada kita bagi subsidi atau tidak, kita sedang melihat balik semua perjanjian yang ada,” katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Khas Air Malaysia 2024 di Wyndham Grand, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bekas perdana menteri itu mendakwa, kerajaan Malaysia memberi ‘subsidi’ air kepada Singapura bernilai 2.379 bilion sejak 61 tahun lalu dari tahun 1962 hingga 2023.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir secara sinis menasihatkan kerajaan untuk terus menjual air berharga tiga sen kepada Singapura sehingga kiamat.
Sewaktu menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir pernah membangkitkan isu berkenaan pada pertengahan 2019 dan menyatakan bahawa harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.
Perjanjian yang berakhir pada 2061 memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen. – KOSMO! ONLINE