KOTA BHARU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sudah bertemu dengan bakal calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Menurutnya, bakal calon BN itu mempunyai peribadi yang baik, terpuji dan diyakini mampu memenuhi cita rasa pengundi di kawasan berkenaan untuk menawan semula kerusi DUN Nenggiri.
“Saya sendiri sudah jumpa calon itu. Namanya saya tidak boleh sebut kerana itu adalah hak Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi). Seramai tiga nama telah dikemukakan oleh UMNO Bahagian Gua Musang dan dipersetujui malah dikekalkan oleh UMNO Kelantan sebelum dimajukan kepada UMNO pusat.
“Jadi, tiga nama berkenaan sudah ada di tangan Presiden UMNO, siapa mereka? Kita tunggu dengan penuh kesabaran kerana ia akan diumumkan sendiri oleh presiden dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-47 Persatuan Kontraktor Malaysia di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, penduduk di DUN Nenggiri perlu memilih calon yang sealiran dengan pucuk pimpinan di peringkat pusat.
Katanya, ini kerana ia merealisasikan hasrat kerajaan persekutuan menerusi program pembangun.
“Dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disokong kerajaan pusat, aspek pembangunan lebih senang dibawa ke DUN Nenggiri kerana Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Felda, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Kemajuan Dewa dan Wilayah (KKDW) semuanya merupakan agensi kerajaan pusat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE