KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyertai parti itu.
Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, keahlian Muhamad Jailani yang juga wakil rakyat UMNO diterima pada 10 Jun tahun lalu, namun diumumkan secara rasmi hari ini.
“Keputusan Muhamad Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti kerana pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023. Pada masa ini di Melaka belum ada undang-undang antilompat parti.
“Maknanya pada masa ini siapa nak tukar parti, sebagai mana seruan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum Julai, dia jemput ADUN PN sertai (blok kerajaan) tetapi Muhamad Jailani telah memohon menyertai PN melalui Pas.
“Jadi DUN Melaka sekarang bukan ada dua wakil pembangkang, tetapi tiga orang pembangkang. Ia masing-masing dari DUN Bemban, Sungai Udang dan sekarang ADUN Rembia daripada parti UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Sementara itu, Muhamad Jailani dalam sidang akhbar sama memaklumkan keputusan menyertai Pas adalah untuk sama-sama berjuang dengan rakyat, yang didakwa berdepan kesusahan ketika ini.
“Sebelum ini saya pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin UMNO memohon untuk memecat keahlian, saya sudah minta cara baik tetapi digantung (keahlian). Ibaratnya, kamu kahwin dengan saya, tetapi kamu seksa saya.
“(Mereka) sekat peruntukan dan rampas pejabat saya. Macam mana saya nak berkhidmat?” soalnya. – KOSMO! ONLINE.