fbpx

Bukan masa terbaik kembali laksana GST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) belum bercadang untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana ia bersifat cukai kepenggunaan yang berasas luas dan bukan masa sesuai untuk diperkenalkan semula.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia tidak sesuai dilaksanakan kini kerana rakyat terutama yang berpendapatan rendah menghadapi cabaran kos sara hidup.

Ujar beliau, dalam melaksanakan pembaharuan fiskal, kerajaan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar dan percukaian.

“Kerajaan akan terus mengutamakan untuk menambah baik sistem cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai kepenggunaan baharu seperti GST.

“Sebarang perubahan dasar kepada sistem percukaian berasaskan kepenggunaan seperti melaksanakan semula GST perlu diteliti untuk memastikan ia bersifat progresif.

“Seterusnya, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi serta pada masa yang sama dapat menjana hasil yang mampan kepada kerajaan,” katanya ketika sesi Jawapan Menteri di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai strategi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meningkatkan pematuhan cukai dan sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST seperti negara jiran.

Mengulas mengenai meningkat pematuhan cukai, Amir Hamzah memberitahu, LHDN melaksanakan empat strategi bagi tujuan kesedaran awam tentang kepentingan membayar cukai terhadap pembangunan negara.

“Langkah pertama adalah dengan menjalin kerjasama bersama pempengaruh dan selebriti melalui Program Rakan Strategik Hasil.

“Strategi ini bertujuan untuk membantu menyampaikan mesej percukaian secara ringkas, kreatif dan mudah difahami khususnya kepada pembayar cukai baharu dalam kalangan generasi muda,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI