PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain bagi meneliti penambahbaikan terutamanya melibatkan aspek perundangan dalam usaha menangani masalah buli siber.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, secara prinsip, beberapa menteri termasuk Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah bersetuju untuk bersama-sama dalam mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini.
“Ini lah yang disebut-sebut oleh beberapa menteri, Gobind dan Azalina mengenai kemungkinan undang-undang sedia ada yang perlu kita perketatkan, bukan hanya dari segi takrifan buli siber tetapi juga dari segi denda atau hukuman yang boleh dikenakan.
“Secara prinsipnya memang di peringkat Jemaah Menteri, ada beberapa (menteri) bersetuju (jadi) kita akan duduk bersama meneliti aspek perundangan yang perlu ditambah baik.
“Azalina maklumkan boleh dilakukan segera pindaan kepada Kanun Keseksaan dan saya percaya ini yang beliau sedang usahakan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Institute of Public Relations Malaysia (IPRM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha, yang didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat. – KOSMO! ONLINE