ALOR SETAR – Penahanan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun bersama dua pucuk pistol di kawasan perumahan Taman Lam Foong, di sini membawa kepada penemuan sejumlah dadah bernilai hampir RM148,000 di sebuah rumah di situ, kelmarin.
Dalam serbuan ke atas rumah itu pada kira-kira pukul 9.30 malam, polis turut menahan seorang lelaki berusia 65 tahun yang merupakan rakan suspek.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, tangkapan ke atas suspek pertama dilakukan sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan perumahan tersebut kira-kira pukul 6.30 petang.
“Pemeriksaan pada tubuh suspek menemui dua pucuk pistol berserta 48 butir peluru di dalam poket seluarnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini hari ini.
Susulan itu, kata beliau, pihaknya bertindak menyerbu sebuah rumah di perumahan sama dan menahan suspek berusia 65 tahun.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut menemui 62 peket plastik berisi ketamin seberat 1.3 kilogram (kg), 40 pembalut aluminium berisi pil erimin 5 seberat 113.82 gram dan 76 peket plastik berisi ekstasi seberat 989.18 gram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM147,789.38,” ujarnya.
Menurutnya, polis turut menyita sebuah kereta jenis Audi A4 dan sebuah televisyen yang dipercayai diperoleh hasil daripada kegiatan mengedar dadah.
“Ujian urin mendapati suspek pertama yang memiliki tujuh rekod lampau termasuk berkaitan dadah dan jenayah positif dadah jenis methamphetamine, manakala suspek kedua yang tidak memiliki rekod jenayah negatif dadah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE