PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi mengumumkan perkhidmatan Internet khas Pakej Rahmah Prabayar Siswa khusus buat golongan lepasan menengah melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pakej berkenaan boleh dilanggan mulai 16 Ogos ini menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES).
Jelasnya, pakej tersebut ditawar pada harga yang lebih rendah iaitu tidak melebihi RM30 dengan minimum permulaan data sebanyak 30 gigabait (GB) untuk tempoh sah laku selama 180 hari.
“Tawaran pakej ini merupakan hasil perluasan pakej internet mudah alih (prabayar) Rahmah yang diperkenalkan pada tahun 2023.
“Maklumat lanjut mengenai Pakej Rahmah Prabayar Siswa ini akan diumumkan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Institute of Public Relations Malaysia (IPRM) di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE