PEMAIN skuasy muda negara, Harith Danial Jefri mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian lapan tahun untuk menyaksikan wakil Malaysia beraksi di pentas separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia.
Danial berjaya membuktikan kemampuannya apabila menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik remaja dunia dalam edisi kali ini yang berlangsung di Kelab Skuasy Houston, Amerika Syarikat.
Kali terakhir pemain lelaki Malaysia melangkah ke peringkat itu adalah menerusi kejayaan bintang No. 1 negara, Ng Eain Yow ketika menjuarai edisi 2016 di Bielsko-Biala, Poland.
Danial mencipta kejutan pertama apabila menyingkirkan pilihan ketiga/keempat iaitu Juan Torres dari Colombia menerusi kemenangan 11-4, 7-11, 11-2, 11-7 pada aksi suku akhir semalam.
Pemain negara yang diletakkan sebagai pilihan sembilan hingga 16 itu terus membuktikan kehebatannya apabila menang straight-set ke atas Abdallah Eissa dari England dengan keputusan 11-6, 11-9, 11-6 di separuh akhir awal pagi tadi.
“Saya sedikit terkejut. Saya bermain dengan baik dan saya tahu ia akan menjadi perlawanan yang panjang. Jadi saya gembira dapat menang dan gembira dengan prestasi sendiri,” kata Danial.
Danial akan turun menentang pemain Korea Selatan, Joo Young Na awal pagi nanti, manakala satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pertemuan antara pilihan utama, Mohamed Zakaria dari Mesir dan Shaurya Bawa (India). – KOSMO! ONLINE