fbpx

Populariti industri e-Sukan 2021 bakal melonjak tanpa limit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZE Clan merupakan organisasi e-Sukan profesional dari Amerika Syarikat yang terlibat dengan permainan seperti Call of Duty, Counter-Strike: Global Offensive, PUBG, Tom Clancy’s Rainbow Six Siege, FIFA dan Fortnite.

TERDAPAT pelbagai pilihan terbuka untuk khalayak ramai me­ngenai apa yang mereka mahu lakukan bagi mengisi masa terluang dan bagi segelintir orang, mereka mula melibatkan diri dengan e-Sukan.

Sama ada seseorang itu seronok menyertai pertandingan permainan video atau gembira sebagai penonton kejohanan, apa yang pasti adalah e-Sukan semakin berkembang menjadi industri mencecah bilion ringgit.

Bagi mereka yang belum benar-benar kenal apa itu e-Sukan, pada dasarnya ia melibatkan mereka yang memainkan permainan video kegemaran dalam persekitaran yang kompetitif malah melangkau kejohanan merentasi seluruh dunia.

Permainan video yang ditawarkan pula cukup meluas daripada League of Legends hinggalah kepada FIFA bahkan permainan akan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.

Maka tidak hairan, industri e-Sukan berada dalam kedudukan yang boleh dikatakan sangat kukuh serta bermanfaat sekarang dan akan terus berkembang dengan pesat pada masa depan.

Sudah pasti faktor utama yang melonjak industri e-Sukan hingga berkembang dengan pantas adalah platform serta capaian kepada sukan berkenaan semakin meluas berbanding sebelum ini.

Misalnya, bagaimana sebuah media penyiaran Bri­tain, Sky tampil melakukan pertandingan secara langsung kejohanan e-Sukan di televisyen sedangkan sebelum itu kebanyakan acara-acara e-Sukan hanya ditonton menerusi platform YouTube atau laman strim di internet.

TEAM Liquid adalah organisasi e-Sukan profesional dari Belanda yang ditubuhkan pada tahun 2000 dengan bermain permainan Brood War clan sebelum beralih kepada StarCraft II pada 2010.

Apa yang mengejutkan, pasukan seperti Faze Clan dan Team Liquid dilihat memiliki potensi untuk mencabar popular gergasi bola sepak Eropah seperti Real Madrid dan Barcelona susulan jumlah pengikutnya yang besar di seluruh dunia.

Lazimnya, kedua-dua kelab iaitu Real mahupun Barca sering terlibat dalam perebutan memburu kejuaraan La Liga dengan The Galacticos selalunya menjadi kegemaran untuk muncul juara berdasarkan pertaruhan dalam bola sepak terutamanya dalam aksi digelar El Clasico.

Bagaimanapun, pertembungan dua pasukan e-Sukan antara Faze Clan dan Team Liquid dijangka tidak mengambil masa lama untuk menyamai bahkan mengatasi jumlah penonton bagi perlawanan bergelar El Clasico tersebut.

Ini sudah tentu dipengaruhi oleh faktor kecenderungan ge­nerasi muda yang semakin teruja terhadap acara e-Sukan bukan hanya disebabkan peredaran zaman bahkan disifatkan sebagai arus perdana oleh Gen Z apatah lagi Gen Alpha.

Daya tarikan e-Sukan yang merentasi dunia tanpa sempadan menunjukkan bagaimana sukan berkenaan semakin menonjol dan berkembang sangat pantas hingga mengatasi populariti sukan seperti bola sepak dan besbol tanpa had.

BECKHAM melibatkan diri dalam e-Sukan menerusi pelaburannya berjumlah AS$19 juta (RM77.17 juta) dalam pasukan Guild Esports pada awal tahun ini.

Lonjakan populariti e-Sukan memberi kesan positif kerana lebih ramai individu dan perniagaan mahu melibatkan diri sekali gus membawa banyak pelaburan dalam industri tersebut.

Ia sudah terbukti apabila bekas bintang bola sepak dunia, David Beckham menjadi antara individu mahupun selebriti po­pular melibatkan diri dalam e-Sukan menerusi pelaburannya berjumlah AS$19 juta (RM77.17 juta) dalam pasukan Guild Esports pada tahun ini.

Lebih banyak individu ter­kenal dijangka turut serta dalam industri e-Sukan kerana percaya malah mengiktiraf industri tersebut akan melangkau lebih jauh serta mendatangkan keuntungan lumayan.

Meskipun memiliki latar belakang peminat yang bercampur usia, namun tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda merupakan sasaran pasaran utama dan platform e-Sukan memberi akses kepada kumpulan tersebut.

Dari segi e-Sukan sendiri, pe­ningkatan tawaran kewangan akan meletakkan industri tersebut pada satu standard tersendiri selain melahirkan pemain terbaik dan mencipta kejohanan lebih berprestij sekali gus meletuskan keterujaan lebih besar.

Jadi, ia akan dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat dalam industri tersebut.

Pada akhirnya, e-Sukan akan terus berkembang pesat kerana konsepnya menarik, bagus, mesra dan mengujakan. Siapa yang tidak suka bermain permainan video? Mungkin boleh dikira de­ngan jari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI