NAIROBI – Polis Kenya menahan seorang pembunuh bersiri yang terlibat dalam pembunuhan ngeri sembilan wanita, di mana mayat mereka ditemui di tempat pembuangan sampah dalam keadaan dikerat-kerat, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Collins Jomaisi Khalusha, 33, mengaku telah membunuh 42 wanita sejak 2022, termasuk isterinya sendiri.
Suspek ditahan di sebuah bar awal pagi semalam ketika sedang menonton perlawanan akhir Euro.
“(Dia) mengaku memikat, membunuh dan melupuskan mayat 42 mayat wanita di tapak pelupusan sampah. Kesemuanya dibunuh antara 2022 hingga setakat Khamis lalu,” kata Ketua Direktorat Siasatan Jenayah, Mohamed Amin.
Kejutan dan kemarahan tercetus di Kenya sejak mayat pertama yang dikerat ditemui pada Jumaat lalu di kuari Mukuru yang terletak di bandar ibu negara, Nairobi.
Orang ramai mempersoalkan bagaimana 42 orang boleh dibunuh dalam tempoh dua tahun tanpa disedari polis.
Mohamed Amin berkata, selepas ditahan, suspek membawa anggota polis ke rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Polis mempamerkan kepada media beberapa barangan yang ditemui di rumahnya termasuk 10 telefon, komputer riba, kad pengenalan dan pakaian wanita.
Mereka juga menemui parang yang dipercayai digunakan untuk mengerat anggota badan mangsa dan sembilan guni digunakan untuk membuang mayat.
Walaupun pihak berkuasa mengesahkan sembilan mayat ditemui setakat ini di kuari yang menjadi tempat pembuangan sampah tersebut, penduduk tempatan percaya bahawa jumlah itu lebih tinggi.
“Kita berhadapan dengan pembunuh bersiri, pembunuh bersiri psikopat yang tidak menghormati nyawa manusia, tidak mempunyai rasa hormat dan maruah,” kata Mohamed Amin.
Polis menyoal siasat suspek untuk mengenal pasti motif pembunuhan dan dia akan dihadapkan ke mahkamah hari ini. – AGENSI