fbpx

Padah jual tong LPG tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tong gas LPG yang ditemui di dalam stor di sebuah premis di Tanjung Malim, Tapah semalam. - Foto IHSAN KPDN

TAPAH – Ketiadaan lesen atau permit untuk menyimpan gas petroleum cecair (LPG) yang merupakan barang kawalan mengundang padah bagi sebuah premis di Tanjung Malim di sini apabila ia diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil maklumat risikan anggota penguat kuasa KPDN Perak yang melakukan tugas pemantauan selama beberapa hari di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan ke atas premis mendapati ia adalah sebuah stor simpanan barang-barang jualan runcit.

“Sebanyak 63 tong LPG telah dijumpai di dalam stor berkenaan, hasil semakan awal mendapati stor berkenaan tidak memiliki sebarang lesen atau permit menyimpan Barang Kawalan (CSA),” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berumur 50-an yang disyaki pemilik perniagaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata, satu tindakan kes telah diambil ke atas pemilik premis berkenaan dengan tindakan sitaan sebanyak 63 tong LPG pelbagai berjenama dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,139.60.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut beliau, seseorang, selain daripada badan korporat tetapi tidak termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat yang melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

“Manakala mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

“Siasatan lanjut juga akan dilaksanakan ke atas syarikat pemborong barang kawalan LPG ini kerana kesalahan menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI