PETALING JAYA – Seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa di Taman Universiti, di Tanjung Malim, Perak sejak Rabu lalu, ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa disyaki dibunuh.
Difahamkan, jasad wanita berusia 25 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 6 petang dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat wanita tersebut ditemukan di kawasan Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu.
“Polis sudah melakukan tangkapan. Kita menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang wanita hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini yang berasal dari Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1.56 pagi 10 Julai lalu.
Mangsa kali terakhir dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam. – KOSMO! ONLINE.