fbpx

Tiada lagi bekas polistirena, styrofoam di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Affendi (kanan) melihat beg kertas yang digunakan peniaga untuk membungkus makanan di Dataran Taman Sena Indah di Kangar, hari ini.

KANGAR – Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menguatkuasakan larangan penggunaan bekas berasaskan polistirena dan styrofoam untuk membungkus makanan di seluruh Perlis bermula hari ini.

Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, penguatkuasan itu dilakukan setelah notis pemberitahuan dikeluarkan kepada peniaga dan pemilik premis pada 7 Jun lalu.

“Hari ini kita telah melakukan tinjauan di sekitar negeri termasuk kawasan Kangar, Padang Besar, Arau dan Kuala Perlis setelah lebih sebulan notis larangan itu dikeluarkan.

“Sehingga saat ini (petang tadi) tidak ada lagi laporan atau aduan penggunaan kedua-dua bahan terlarang tersebut yang digunakan untuk membungkus makanan dikesan,” katanya pada sidang akhbar di Dataran Taman Sena Indah, di sini hari ini.

Selain tinjauan di gerai-gerai peniaga, Affendi turut pergi ke sebuah pasar raya mini yang menjual keperluan untuk peniaga makanan di kawasan tersebut.

“Kita mendapati pasar raya ini juga tidak membekalkan bekas makanan daripada styrofoam serta polistirena dan kita menyarankan selain peniaga, pembekal peralatan pembungkusan juga tidak lagi menjual bekas daripada bahan tersebut.

“Kita memberi masa kira-kira seminggu lagi untuk advokasi dan selepas tempoh itu, mana-mana peniaga yang masih menggunakan bekas berkenaan boleh dikompaun maksimum RM500 atau denda tidak lebih RM2,000 di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan peniaga menggunakan beg kertas atau bekas plastik tahan haba yang boleh digunakan dalam ketuhar gelombang mikro.

Tambahnya, langkah itu diambil setelah mengambil kira kajian yang menunjukkan penggunaan polistirena disifatkan berbahaya kerana mengandungi bahan karsinogen yang boleh menyebabkan kanser, selain tirena dan benzena yang menjejaskan alam sekitar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI