LONDON – Manchester United dan Totteham Hostpur dilaporkan sedia bersaing untuk mendapatkan pemain pertahanan Fiorentina, Nikola Milenkovic.
Kedua-dua pasukan dilaporkan perlu memantapkan bahagian pertahanan menyebabkan mereka perlu mendapatkan pemain pertahanan baharu pada jendela perpindahan Januari ini.
Pemain antarabangsa Serbia ini dilihat antara calon yang sesuai untuk menambah kekuatan di bentang pertahanan pasukan masing-masing kerana memiliki kekuatan fizikal yang mantap.
Milenkovic dinilai pada harga sekitar £23 juta (RM125.35 juta) oleh Fiorentina dan akhbar di Itali melaporkan bahawa pemain itu kini menjadi buruan banyak kelab gergasi Eropah.
Pemain berusia 23 tahun itu memiliki 26 kap bersama skuad antarabangsa Serbia selain menjadi nadi penting Fiorentina termasuk ketika menewaskan Juventus 3-0 kelmarin.
United terdesak untuk mendapatkan pemain pertahanan tengah sejak jendela perpindahan lalu, namun gagal mendapatkannya.
Pengurus mereka, Ole Gunnar Solskjaer dilaporkan mahu mendapatkan pemain yang akan bergandingan bersama Harry Maguire selepas beberapa aksi kurang meyakinkan dipamer oleh Victor Lindelof.
Sementara itu, pengendali Spurs, Jose Mourinho pula dilaporkan mahu melepaskan khidmat bek tengahnya, Davinson Sanchez yang gagal mendapat kepercayaannya.
Milinkovic dilihat calon sesuai untuk mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan nanti. – AGENSI