PONTIAN – Seorang ibu tiga anak buntu memikirkan nasib keluarganya apabila suami yang menjadi tulang belakang dalam mencari nafkah diserang angin ahmar akibat darah tinggi sejak Ramadan lalu.
Nurul Shaidah Rahim, 32, berkata, suaminya, Ayaturauf Ahmad, 36, yang bertugas sebagai posmen di Pejabat Pos Malaysia (Pos Laju) cawangan Pekan Nanas diserang strok bahagian kiri anggota badan dan kini hanya terlantar di atas katil.
“Ketika suami mendapat serangan angin ahmar, saya baru balik dari mengambil upah membersihkan rumah penduduk sekitar, terkejut mendapati suami terbaring di tengah rumah sebelum meminta jiran menghantarnya ke Hospital Pontian sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah ( HSA ) Johor Bahru.
“Ketika di HSA, suami melalui proses pembedahan di kepala kerana terdapat pendarahan dan ditempatkan di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sebulan sebelum dibenarkan balik ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Jailani, Pekan Parit Sikom, di sini, baru-baru ini.
Nurul Shaidah berkata, suaminya diberikan cuti enam bulan dengan gaji bersih sebanyak RM1,140 sebulan dan wang itulah digunakan untuk membayar sewa rumah RM250 sebulan, bulanan motosikal serta bil elektrik, air dan perbelanjaan harian.
“Saya mempunyai tiga anak, yang pertama Muhammad Aryan Arshad berusia 9 tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kayu Ara Pasong, Nur Shaziatul Raiysa, 6, dan Nur Damia Alisa, 3.
“Saya juga menanggung adik berusia 17 tahun yang belajar di SMK Kayu Ara Pasong,” ujarnya.
Jelasnya, bagi menampung kehidupan keluarganya, dia mengambil upah mengemas rumah orang setiap Jumaat dan cuti umum dan boleh mendapat antara RM200 hingga RM500 sebulan bergantung kepada kerja.
Nurul Shaidah berkata, panel Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan bermesyuarat September ini bagi memutuskan bantuan sesuai kepada suaminya setelah berakhirnya cuti selama enam bulan.
Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menghubuni Nurul Shaidah di talian 012-7618571 atau akaun Bank Simpanan Nasional, 0112041100044087.