BAKAT seni dua penyanyi muda ini sering mencuri perhatian para pencinta muzik tempatan. Berbekalkan mutu suara yang lunak merdu dan mudah melekat di halwa telinga pendengar, nama Khai Bahar dan Aina Abdul semakin mekar mewangi.
Bahkan, tidak hanya hebat dengan nyanyian semata-mata, dua orang anak muda itu turut mencuri perhatian dalam bidang penciptaan lagu.
Boleh dikatakan kebanyakan lagu dihasilkan sendiri sekali gus meletakkan pengaruh mereka sebaris dengan penyanyi-penulis lirik yang lain.
Saling memuji dan mengagumi bakat masing-masing, kedua-duanya pantas merencana projek istimewa sebagai hadiah buat peminat yang sentiasa berharap mereka bakal muncul dalam lagu duet.
Enggan menunggu lama, kesempatan yang ada dimanfaatkan sebaiknya. Malah ‘lamaran’ Aina untuk berduet disambut baik Khai sehingga terhasilnya single Nafas Cinta yang sudah pun dilancarkan serentak dengan video muzik rasmi pada 18 Disember lalu menerusi saluran YouTube Aina Abdul.
Menurut Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 27, lagu tersebut dicipta khas bagi memberikan nafas baharu dalam muzik mereka berdua. Nafas Cinta ditujukan buat pasangan sedang ingin bercinta sehingga melangkah ke alam perkahwinan.
“Lagu ini sangat mencabar, cuma bunyi kedengaran agak santai. Kekuatan vokal masih ditonjolkan. Tetapi kami bersepakat untuk ketengahkan emosi serta perasaan yang lebih relaks dan santai.
“Mesej lagu Nafas Cinta sangat berbeza dengan lagu lain yang saya tulis. Lagu ini lebih ‘muda’ dan menyasarkan golongan remaja. Disebabkan itu saya sangat berharap lagu ini diterima baik dan dekat dengan pendengar.
“Secara tidak langsung, apabila mendengar lagu ini mereka akan tersenyum dan gembira selain mengimbas momen indah dalam percintaan. Sebab ini bukan lagu berat seperti sebelumnya. Pendek kata, emosi lagu ini sangat romantis dan manis,” kata Aina.
Hasrat berduet
Berkongsi bagaimana kerjasama antara mereka terjalin, segalanya tercetus selepas mereka berduet menyanyikan semula lagu Just Give Me A Reason yang dimuat naik dalam saluran YouTube masing-masing.
“Saya memang jarang berhubung dengan penyanyi lain. Apabila Khai sudi menyanyikan semula lagu Just Give Me A Reason dalam YouTube, saya sangat gembira. Tidak sangka duet kami mendapat maklum balas sangat baik daripada peminat.
“Kemudian Khai menjemput saya untuk menyanyi dengannya di pentas Konsert Minggu Ini Bersama Khai Bahar di RTM. Saya cakap kepada pengurus, alang-alang sudah berkenalan kita boleh buat satu lagu. Jadi kami beritahu hasrat berkenaan kepada Khai dan dia pun okey.
“Saya terus buat melodi lagu Nafas Cinta sementara Khai pula berikan pengisian untuk melengkapkan lagu ini. Maka melodi dan lirik lagu ini kami hasilkan bersama-sama,” jelasnya.
Tambah pelantun lagu Sumpah itu, proses menghasilkan Nafas Cinta amat mudah walaupun sesi rakaman dijalankan di Seremban, Negeri Sembilan dan mengambil masa yang agak panjang.
“Bagi mencipta keserasian, bukan boleh terus dapat. Disebabkan itu Khai sanggup datang ke Seremban untuk buat proses rakaman. Pertama, Khai datang rakam demo dahulu untuk kami belajar dan fahamkan melodi serta maksud lagu. Kali kedua, baru buat rakaman sebenar. Jadi, ia memakan masa juga.
“Tetapi Khai sangat membantu dan memberi sokongan. Walaupun saya masih baharu tetapi dia sangat merendah diri. Dia tidak kisah perlu datang dari jauh dan tetap memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang sesi rakaman berjalan,” katanya.
Rakan duet
Sementara itu, Khai, 26, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin menyifatkan lagu Nafas Cinta sesuatu yang istimewa buat peminat.
“Sebelum ini ramai tertanya-tanya siapa rakan duet terbaharu saya. Apabila saya kongsikan dalam Instagram, semua tidak sabar menunggu lagu ini. Boleh dikatakan, ini adalah hadiah buat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya kami.
“Saya berharap lagu ini dapat diterima baik dan boleh pergi lebih jauh. Pada masa sama, semoga duet saya dan Aina mampu membuatkan kalian jatuh cinta dengan lagu ini. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” katanya.
Malah Khai mengakui cukup bertuah berpeluang menjalin kerjasama bersama Aina selain mengagumi bakat besar dimiliki penyanyi lagu Semalam itu.
“Alhamdulillah, perancangan kami untuk menghasilkan projek ini dipermudahkan. Jika sebelum ini saya pernah berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Siti Nordiana. Kali ini, saya bertuah kerana diberi peluang untuk berduet dengan Aina pula.
“Setiap rakan duet saya mempunyai keistimewaan dan aura masing-masing. Saya melihat setiap tawaran yang datang adalah kesempatan terbaik untuk memajukan diri. Bekerjasama dengan ramai orang membolehkan saya menimba pengalaman baharu,” katanya.
Lagu Nafas Cinta boleh didengari menerusi semua platform muzik digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox, YouTube Music, Channel YouTube dan Apple Music.