LIVERPOOL – Kapten Manchester United, Harry Maguire menggesa rakan sepasukannya supaya mula meletakkan kejayaan merangkul trofi sebagai sasaran utama mereka musim ini selepas merakam kemenangan 2-0 menentang Everton pada aksi suku akhir Piala Liga Inggeris.
Aksi yang berlangsung awal pagi semalam di Goodison Park menyaksikan United mengesahkan slot ke separuh akhir apabila Edison Cavani dan Anthony Martial mencetak nama sebagai penjaring.
United kini mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan dan kali terakhir mereka menjulang trofi adalah ketika muncul juara Liga Europa di bawah kendalian Jose Mourinho.
Selepas itu, mereka hanya berjaya melangkah sekali ke pentas final dan terkandas dalam tiga aksi separuh akhir musim lalu ketika dibimbing oleh Ole Gunnar Solskjaer.
“Ia adalah persembahan yang terbaik, kami mampu untuk menjaringkan lebih banyak gol, mungkin ada tiga atau empat peluang terbaik. Kami perlu lebih tajam.
“Edinson Cavani berjaya meledak gol yang menarik walaupun bukan menggunakan kaki kegemarannya. Dia mengalami kecederaan tetapi kami gembira dia sudah kembali. Dia adalah seorang penyerang yang terbaik sepanjang kariernya.
Sementara itu, Solskjaer memuji aksi cemerlang yang dipamerkan Cavani sepanjang perlawanan itu dan percaya pemain itu telah memberikan impak besar selepas tiba di Old Trafford musim panas lalu.
Cavani berjaya meledak empat gol dalam 12 perlawanan musim ini menyebabkan Solskjaer menafikan tuduhan kononnya pemain itu bermula agak perlahan bersama United.
“Saya fikir anda salah. Saya tidak rasakan bahawa dia bermula dengan perlahan. Dia sudah melakukan yang terbaik dan cemerlang bersama pasukan ini.
“Dia berdepan masalah kecederaan seperti juga pemain lain. Dia agak lewat menyertai kami pada jendela perpindahan tetapi saya sangat gembira dengan pengaruh dan aura positif yang diberikan untuk semua pemain dalam pasukan ini.
“Dia menjaringkan beberapa gol yang penting untuk pasukan ini selain berkongsi pengalaman dengan pemain lain. Dia tidak beraksi untuk tempoh tujuh bulan sebelum ini tetapi perkembangannya kini semakin baik,” jelasnya. – Agensi