SHAH ALAM – Insiden terpalit dengan stoking tertera Kalimah Allah telah memberikan impak besar kepada pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Mart), Datuk Seri Chai Kee Kan.
Kee Kan, 57, mengakui mengalami pelbagai pengalaman mencabar dan tidak pernah dibayangkan sepanjang insiden yang telah berlarutan selama 124 hari itu.
“Hari ini merupakan hari penting kepada saya selepas empat bulan atau 124 hari apabila saya, isteri dan keluarga mengalami sengsara ekoran kes ini. Ia bukan sesuatu perjalanan yang mudah.
“Saya amat sedih susulan perkara ini berlaku kepada saya dan syarikat. Ini sesuatu yang tidak terjangkau dalam pemikiran saya.
“(Kejadian berkaitan stoking Kalimah Allah ) ini adalah suatu yang tidak akan lupakan. Justeru, saya harap keputusan (lepas dan bebas) akan menoktahkan perkara ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan lobi Mahkamah Shah Alam hari ini.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Muhamad Anas Mahadzir telah melepas dan membebaskan (DNA) Kee Kan, dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, daripada pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung stoking tertera kalimah Allah.
Turut mendapat perintah sama adalah tiga pengarah syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn. Bhd iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36 atas pertuduhan bersubahat mengenai kesalahan sama.
Sementara itu, Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Kee Kan dan Siew Mui menjelaskan, keputusan DNA tersebut selepas representasi dihantar mereka telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Untuk rekod representasi tersebut dihantar pada 17 Mei lalu sebelum diterima AGC pada 26 Mei lalu.
“Justeru, kes ini telah selesai dan tiada apa lagi berkaitannya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai sama ada KK Mart akan meneruskan saman terhadap Xin Jian Chang Sdn. Bhd, Peguam Datuk David Gurupatham menegaskan setakat ini perkara tersebut akan diteruskan KK Mart. -KOSMO!ONLINE