fbpx

Euro 2024: England penat punca kekalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOUTHGATE mengakui England berdepan masalah kepenatan dan beberapa pemain tonggak tidak berada pada tahap terbaik menjadi punca kekalahan. - AFP

BERLIN – Ketua Jurulatih England, Gareth Southgate mengakui faktor kepenatan menjadi punca utama pasukannya gagal menjuarai trofi Euro kali ini selepas tewas 1-2 kepada Sepanyol dalam aksi final di Olympiastadion, awal pagi semalam.

Menurut Southgate, kelemahan utama pasukan dengan beberapa pemain utama tidak berada pada tahap seratus peratus menyaksikan skuad La Roja mudah mendominasi sepenuhnya 90 minit perlawanan.

Bagaimanapun, Southgate memuji barisan pemain yang telah bekerja keras sepanjang kejohanan bagi memastikan impian skuad Three Lions menjejakkan kaki ke pentas final menjadi realiti.

“Saya rasa tiada alasan untuk pasukan tewas tetapi harus diakui kita tidak berada pada tahap terbaik di pentas final kali ini. Namun, masalah ini berlarutan sejak awal kejohanan yang mana pemain-pemain utama kita tidak cergas sepenuhnya.

“Namun, pujian wajar diberikan kepada barisan pemain yang berusaha untuk memberikan sinar harapan buat penyokong setia kami di tanah air dengan mempamer semangat juang tinggi selain karakter tidak menyerah terlalu awal.

“Mengenai perlawanan, saya rasa kita bertahan dengan baik pada babak pertama, tetapi ketika penghujung saingan, pasukan sudah kehilangan fokus dan kesempatan itu digunakan oleh pasukan Sepanyol,” katanya.

Pada aksi tersebut, England berjaya bangkit daripada ketinggalan 0-1 hasil jaringan Cole Palmer tetapi tuah ternyata memihak kepada La Roja apabila meraih gol kemenangan pada penghujung saingan hasil ledakan Mikel Oyarzabal.

Mengulas lanjut, Southgate akhirnya mengakui kapten pasukan, Harry Kane sebenarnya tidak berada pada prestasi terbaik sepanjang kejohanan selepas dihimpit kecederaan pada penghujung musim lepas bersama kelab, Bayern Munich.

“Dalam pasukan kami, ramai pemain yang tidak dapat bermain secara konsisten di peringkat kelab pada penghujung musim terutama Kane. Dia gagal untuk memberikan saingan fizikal kepada pertahanan lawan dan tidak berada pada tahap yang sepatutnya.

“Situasi itu menyebabkan kita mengganti Kane dengan Ollie Watkins pada awal babak kedua dan dia (Watkins) menjalankan tugas dengan lebih baik,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI