fbpx

‘Azliha sorok anak dalam almari elak hidu asap kebakaran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARIDAH menunjukkan gambar Azliha ketika ditemui di Hospital Melaka, hari ini.

MELAKA – Selepas lima hari bertarung nyawa, ibu kepada dua kanak-kanak yang maut akibat menghidu asap tebal kebakaran di sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Plaza Mahkota Khamis lalu disahkan meninggal dunia, tengah hari tadi.

Mangsa, Azliha Ngah Ariffin, 40, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka pada pukul 12.50 tengah hari.

Dalam insiden kebakaran kira-kira pukul 1.30 petang itu, dua anaknya, Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan Nur Riaisha Zahra, 2, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketiga-tiga beranak itu dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal akibat menghidu asap tebal kebakaran yang merebak dari tingkat satu ke tingkat tiga, bilik yang disewa mereka di bangunan berkenaan.

Menurut kakaknya, Rohana, 43, adiknya itu tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke ICU selepas insiden kebakaran dan pihak hospital memaklumkan mangsa mengalami kegagalan otak untuk berfungsi.

“Arwah merupakan anak keenam daripada 12 beradik dan hanya dia yang tinggal di Melaka sejak lapan tahun lalu selepas berpisah dengan bekas suaminya.

“Kami ada diberitahu semasa kebakaran berlaku Azliha meletakkan anaknya berusia dua tahun di dalam almari supaya tidak menghidu asap tebal, namun siapa sangka ketiga-tiga mereka telah pergi,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, hari ini.

Sementara itu, adik mangsa, Faridah, 37, berkata, dia terkilan apabila hanya dapat berjumpa kakaknya setelah dia tidak sedarkan diri dan akhirnya disahkan meninggal dunia.

“Kali terakhir kami berjumpa dengannya adalah pada lapan tahun lalu ketika majlis perkahwinan adik bongsu kami di Ipoh, Perak.

“Kemudian arwah terus membawa diri ke Melaka dan kami hanya berhubung dengan anak sulungnya melalui telefon sahaja, rasa ralat sangat apabila kami dapat berjumpa dengannya dalam keadaan begini,” ujarnya hiba.

Tambahnya, salah seorang rakan kakaknya ada memberitahu, sebelum kebakaran itu berlaku kira-kira 10 pagi arwah ada berjumpa dengannya memberitahu akan berpindah rumah tidak lama lagi.

“Tapi dia tak bagitahu akan berpindah ke mana, tak sangka mungkin itulah petanda dia akan ‘berpindah’ buat selama-lamanya,” katanya.

Ujarnya lagi, difahamkan sebelum ini arwah telah berkahwin baharu tetapi usia perkahwinan itu juga tidak berpanjangan dan dia mengambil upah bekerja sebagai pembantu kedai makan serta di pasar malam bagi membesarkan anak-anaknya.

Katanya, jenazah Azliha akan dibawa ke Ipoh, Perak untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Pegoh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI