PETALING JAYA – Kahak yang telah sampai ke pangkal lidah dan puncak tekak iaitu pada makhraj ‘kha’, tidak boleh ditelan ketika solat.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sekiranya ditelan juga, solat tersebut batal apatah lagi jika kahak tersebut telah sampai ke lidah.
“Kami mencadangkan agar membawa tisu atau sapu tangan di dalam poket, untuk meludahkan kahak sekiranya diuji dengan kerap batuk dan banyak mengeluarkan kahak.
“Jangan meludah ke arah kiblat atau ke arah kanan. Ini selaras dengan sabdaan Nabi SAW diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bermaksud, apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada Tuhan-Nya, atau Tuhan-Nya berada di antara dirinya dan kiblat.
“Maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) di sebelah kirinya atau di bawah kakinya. Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendang dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda ‘atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini’,” katanya.
Zulkifli berkata demikian menerusi soal jawab agama pada aplikasi Alinarah berhubung pertanyaan pengirim yang sering terbatuk ketika solat dan kadangkala berkahak, namun dia terpaksa menelannya.
Beliau menjelaskan, antara perkara yang membatalkan solat adalah makan dan minum dengan sengaja, iaitu memasukkan sesuatu ke dalam rongga mulut sama ada sedikit atau banyak.
“Perkara ini merupakan ijma para ulama seperti dinukilkan oleh Imam Ibn al-Munzir dalam kalangan ulama Mazhab al-Syafi’i.
“Menelan kahak adalah termasuk dalam perbuatan ini. Hukum telan kahak ketika solat adalah sama dengan hukum telan kahak ketika berpuasa. Ini merupakan persamaan antara hukum solat dengan hukum puasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE