EDINBURGH, Scotland – Seekor raksasa bersaiz sebesar sebuah bas mini kelihatan berenang di Tasik Loch Ness, kawasan Tanah Tinggi Scotland, lapor akhbar Daily Mirror kelmarin.
Lelaki tempatan, Eoin O’Faodhagain berkata, jantungnya berdegup kencang apabila melihat kemunculan makhluk itu semasa memantau permukaan air Tasik Loch Ness dengan menggunakan kamera web, baru-baru ini.
“Saya melihat dua bentuk (bonggol) gelap bergerak mengikut urutan antara satu sama lain.
“Ia benar-benar penampakan yang mengejutkan dan jelas secara visual,” ujarnya.
Anggaran panjang raksasa itu menyamai saiz bas mini Ford Transit yang mempunyai 12 tempat duduk.
“Saya fikir ia mungkin Nessie (panggilan untuk raksasa Loch Ness) kerana saiznya.
“Saya mengandaikan benda di hadapan adalah kepala raksasa ini dan ia berkemungkinan sedang memburu ikan,” katanya.
Raksasa Loch Ness menjadi terkenal di serata dunia sejak tahun 1930-an lagi. – AGENSI