PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Aqasha terkilan dengan tragedi menimpa pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha yang ditemui mati akibat menjadi mangsa buli siber di platform TikTok.
Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli, 41, berkata, segelintir individu masa kini mudah terpengaruh dengan budaya tidak sihat yang disogokkan dalam laman sosial sehingga hilang nilai kemanusiaan.
“Sebagai manusia, saya tak dapat lari daripada berasa terkesan dengan tragedi yang menimpa Esha.
“Kita telah sampai ke satu titik yang benar-benar menunjukkan bahawa ceteknya kemanusiaan kita kerana terbawa-bawa dengan arus media sosial.
“Saya tak mahu sentuh tentang agama. Saya pasti kemanusiaan itu diajarkan dalam setiap agama. Malah yang tak beragama juga harus tahu dasar sebuah kemanusiaan,” tulisnya dalam Instagram.
Pada masa sama, pelakon filem Embun itu menyelar tindakan pengecut pihak yang membuat ugutan dan kutukan terhadap mendiang apabila berselindung di sebalik akaun palsu.
“Ramai yang terlalu selesa berselindung di sebalik akaun palsu dan mencerca, mengkeji orang lain seperti seorang pengecut sejati yang mungkin tiada didikan atau dibuang ibu ayah sendiri.
“Menggunakan nama Tuhan dan kebenaran tapi hakikatnya mengikut nafsu syaitan malah, senteng akal fikiran. Diri tak diajarkan batasan,” ujarnya.
Aqasha juga yakin mereka yang berkenaan bakal berdepan tindakan undang-undang dan hukuman yang setimpal atas perbuatan melampau itu.
“Tiada yang akan telepas dari hisab-Nya. Apa yang kita lakukan, itulah yang kita dapat. Saya tak perlu berdoa untuk memastikan yang melakukan kekejaman ini pasti mendapat habuannya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pempengaruh berusia 30 tahun yang juga aktivis ditemui meninggal dunia di rumahnya, pada 8 Julai lalu iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.
Mendiang dipercayai mengalami tekanan akibat diganggu dengan komen jelik oleh beberapa individu yang kebanyakannya menggunakan nama samaran atau akaun palsu, sejak sebulan lalu.
Kes itu turut meraih perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mahu membentangkan isu buli siber dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini bagi mencari penyelesaian perundangan dan penguatkuasaan. – KOSMO! ONLINE