KUALA LUMPUR – Selepas 10 minggu berentap, penyanyi Aepul Roza menepati ramalan ramai apabila diumumkan sebagai juara musim pertama The Hardest Singing Show (THSS) pada konsert final yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB di sini, hari ini.
Aepul yang mendendangkan lagu It’ My Life dengan mengetengahkan konsep Emosi Intrumentasi dan Melompat Lebih Tinggi (duet bersama Putera Muhammad) meraih markah tertinggi mengalahkan lima bintang lain yang turut bertanding.
Kemenangan tersebut sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM150,000, pakej pelayaran dan trofi sumbangan Astro.
“Ini rezeki Allah SWT dan saya sendiri tak pernah menang apa pun walau cabutan bertuah.
“Terima kasih kepada juri dan pasukan saya, alhamdulillah,” katanya selepas diumumkan sebagai juara hari ini.
Sementara, Ayda Jebat pula meraih naib juara yang membawa pulang RM20,000, pakej pelayaran dan trofi.
Tempat ketiga pula menjadi milik Stacy yang menerima RM10,000, trofi dan pakej pelayaran.
Manakala Anugerah Pilihan THSS Alha Alfa dengan wang tunai RM10,000 dibawa pulang oleh Stacy.
Ketiga-tiga pemenang mengalahkan tiga peserta lain iaitu Aisha Retno yang menduduki tempat keempat, Putera Muhammad (kelima) dan Zizi Kirana pula di tempat keenam.
Masing-masing membawa pulang RM5,000 pakej pelayaran dan trofi sumbangan Astro.
Sebelum ini, dua peserta, De Fam dan Datin Alyah memilih untuk menarik diri manakala Kaka Azraff pula merupakan peserta tunggal yang tersingkir pada minggu keempat THSS.
Setiap persembahan diadili oleh barisan juri profesional iaitu Edry Abdul Halim, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Zizan Razak.
Pada konsert akhir hari ini, kerusi juri jemputan pula diisi pengarah dan pelakon, Adlin Aman Ramli. – KOSMO! ONLINE