fbpx

Mahu bergelar pendidik seperti ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FATIN UMAIRAH

SEJAK kecil, Fatin Umairah Mohd. Nasir telah melihat ibunya menjadi seorang pendidik yang mengajar anak bangsa.

Dari situ terdetik dalam hati gadis berusia 23 tahun itu untuk mengikut jejak langkah ibunya.

“Ibu saya Rosnah Abd. Rashid merupakan seorang guru Matematik dan saya sering mengikutinya jika ada program di sekolahnya.

“Saya menjadikan ibu sebagai sumber inspirasi untuk mencapai cita-cita sebagai seorang pendidik,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di Universiti Malaya (UM).

Mengulas lanjut, dia kini dalam perjalanan untuk menggapai impian bergelar seorang pendidik.

Sebolehnya, dia ingin menjadi seorang pensyarah dengan menyambung pengajian sehingga doktor falsafah (PhD).

Fatin Umairah menjelaskan, jika hasrat menjadi pensyarah tidak tercapai, dia mungkin akan menjadi seorang guru seperti ibunya.

“Untuk menjadi seorang guru, saya harus ambil diploma pendidikan terlebih dahulu.

“Setelah tamat pengajian, saya akan mempertimbangkan pilihan sama ada ingin menjadi pensyarah atau guru,” jelasnya yang berasal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai faktor utama memilih bidang usuluddin, Fatin Umairah berkata, semuanya kerana minat.

Sebelum ini, ketika mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, dia ada belajar subjek Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab.

“Saya minat dengan satu bab iaitu mantiq atau ilmu logik dalam Usuluddin.

“Bagi mendalami dengan lebih mendalam bidang itu, saya ambil keputusan untuk sambung pengajian dalam bidang ini,” ujarnya.

Di UM, pengajian bidang usuluddin dipecahkan kepada tiga jabatan iaitu akidah dan pemikiran Islam, dakwah dan sejarah.

Dia di jabatan akidah dan pemikiran Islam yang memberi pengkhususan terhadap aliran pemikiran, pembangunan insan, akidah, perbandingan agama dan lain-lain.

FATIN UMAIRAH merupakan pelajar usuluddin di UM.

Fatin Umairah mengakui, dia berhadapan dengan cabaran apabila mendalami ilmu usuluddin.

“Cabarannya adalah dari segi bahasa, di mana pensyarah banyak menggunakan kitab Arab.

“Bagi pelajar yang tidak faham sepenuhnya bahasa Arab mereka akan berhadapan dengan sedikit kesukaran.

“Bagi pelajar yang mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), mereka mungkin mudah sedikit.

“Saya yang mengambil STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) dan banyak menggunakan bahasa Melayu perlu mengambil sedikit masa untuk faham bahasa Arab,” katanya.

Sementara itu, Fatin Umairah juga merupakan seorang pelajar yang aktif di kampus dengan menyertai pelbagai aktiviti persatuan dan organisasi.

Katanya, melalui penglibatan tersebut, dia dapat belajar pelbagai kemahiran yang tidak terdapat di dalam kelas.

FATIN UMAIRAH gemar menyertai program berkaitan motivasi.

Selain itu, dia juga bergerak aktif dalam Young Da’wah Ambassador (YDA) dan menjadi setiausaha untuk badan tersebut.

“Saya berminat untuk aktif dengan persatuan dan organisasi berkenaan kerana ia salah satu tempat untuk mencari ilmu.

“Di YDA, sebelum diberi tanggungjawab untuk menguruskan sesuatu program, kami diberi latihan terlebih dahulu. Ketika ini, sedang berlangsung program pengucapan awam dan kami belajar cara untuk bercakap di depan orang ramai.

“Untuk bercakap di hadapan orang ramai, ia memerlukan ilmu tambahan.

“Ini kerana, kami sering memberi motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah,” jelasnya.

Fatin Umairah juga menjelaskan, dia gemar melibatkan diri dalam program-program motivasi yang dianjurkan oleh pihak YDA.

Menurutnya, dia suka memberi motivasi kerana ia penting untuk seseorang itu kekal di landasan betul.

“Kita sebagai manusia tidak sentiasa mempunyai semangat. Jadi, apabila kita mendapat motivasi daripada orang di sekeliling, kita akan kembali bangkit untuk mencapai cita-cita.

“Sesetengah remaja lemah semangat terutamanya jika tidak ada sokongan yang kuat. Namun, melalui motivasi yang diberikan, ia dapat membantu mereka keluar daripada pemikiran negatif,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI