fbpx

Inovatif Merchantrade kuasai industri perkhidmatan kewangan digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramasamy (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran kad kredit korporat terbaharunya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Proses melengkap sesuatu borang tuntutan pelbagai perbelanjaan dan perjalanan adalah satu perkara yang sangat remeh dan membosankan bagi mana-mana pekerja, apatah lagi terpaksa menyimpan resit-resit berkaitan transaksi yang telah dilakukan.

Begitu juga bagi pihak pentadbiran, yang mana kerja-kerja secara manual untuk membuat semakan dan perkara lain akan menimbulkan pelbagai isu termasuk melambatkan kerja sekali gus mengurangkan produktiviti.

Bersandarkan kepada teknologi baharu dan transformasi digitalisasi, Merchantrade Asia Sdn Bhd. (Merchantrade) pengendali perniagaan perkhidmatan kewangan terbesar di negara ini muncul dengan idea inovatifnya melalui usaha merevolusikan kad kredit korporat yang boleh diguna pakai oleh semua peringkat kakitangan.

Pelancaran Merchantrade Money Biz dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini menunjukkan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian kewangan digital yang inklusif dan efektif dalam memenuhi keperluan syarikat yang sedang berkembang pesat masa kini.

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran berkata, dikuasakan oleh Visa, kad prabayar perniagaan itu boleh digunakan oleh pekerja untuk membuat pembayaran di seluruh dunia sama ada dalam talian atau runcit untuk perbelanjaan syarikat.

“Portal pengurusan perbelanjaan yang kami bangunkan ini bukan sahaja automatik tetapi juga mendigitalkan proses perniagaan selain memberikan ketelusan 100 peratus pada semua transaksi tetapi juga dapat mengawalnya dengan lebih mantap,” katanya.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang perkembangan terbaharu Merchantrade?
Ramasamy: Kami telah beroperasi lebih daripada 28 tahun dalam industri dan perniagaan teras kami adalah segmen per­khidmatan kiriman wang yang mana ia menyumbang sehingga 60 peratus kepada pendapatan syarikat.

Malah, bidang ini mewakili 25 peratus dalam industri tempatan membolehkan kami menjadi antara syarikat peneraju dalam perkhidmatan kiriman wang global di negara ini. Kami telah melaksanakan sistem digital dalam penawaran perkhidmatan kepada pelanggan, jadi ia sangat memudahkan mereka.

Apakah produk terbaharu syarikat?
Kami lancarkan kad korporat Merchantrade Money Biz iaitu kad prabayar perniagaan visa pertama di negara ini yang merupakan satu produk berinovatif untuk memudahkan pengurusan perbelanjaan bagi pelbagai jenis syarikat daripada bidang industri, saiz dan juga bersesuaian untuk syarikat korporat.

Ia menggabungkan tiga kaedah iaitu kad prabayar dengan had RM50,000 dengan pengeluaran kad tanpa had bagi sesebuah syarikat yang dipautkan dengan eDompet pelbagai mata wang serta juga portal pengurusan perbelanjaan dengan fungsi yang dibangunkan khusus untuk perniagaan mo­den.

Berapa lama tempoh kajian dan pembangunan terhadap produk inovatif ini?
Kami mengambil masa hampir tiga tahun dengan melibatkan pelbagai peringkat kajian dan ujian.

Dalam fasa percubaan itu juga lebih daripada 80 syarikat telah mendaftar dan mereka melakukan pelbagai transaksi dan daripada maklum balas yang diterima, kami terus meningkatkan lagi perkhidmatan baharu itu agar menjadi lebih lancar, mudah dan cekap.

Apa manfaat penggunaan Merchantrade Mo­ney Biz kepada pelanggan?
Ia akan memudahkan lagi pengurusan perbelanjaan, meningkatkan kawalan kewangan dan me­ngurangkan bebanan kerja yang dihadapi oleh kakitangan dalam bidang pentadbiran.

Majikan akan dapat manfaat daripada memantau perbelanjaan dalam masa sebenar, laporan kewangan yang dimuat naik dengan segera dan terkini serta lebih menarik ia akan menggalakkan pembayaran tanpa menggunakan wang tunai.

Melalui teknologi digital, produk ini akan membantu perusahaan ke arah penjimatan masa, mengurangkan kesilapan dan mengekalkan kawalan kos perbelanjaan kewangan kerana ia boleh dipantau dalam masa sebenar serta pembayaran boleh dibuat secara online sahaja.

Apa bezanya kad korporat ini dengan kad kredit korporat tradisional yang lain?
Kad kredit korporat yang biasa hanya digunakan oleh eksekutif atasan tetapi kini dengan kad yang kami lancarkan, ia memberi kelebihan kepada pekerja di semua peringkat sambil menyediakan kemudahan untuk majikan mengawal dan menguruskan kewangan dengan tepat dan betul.

Ia juga adalah satu inovasi yang telah mengubah cara syarikat menguruskan perbelanjaan mereka sekali gus menjadikan syarikat bebas risiko perbelanjaan yang berlebihan.

Apakah sasaran syarikat terhadap kad baharu ini dan berapa ramai pelanggan?
Kami melihat kad ini berse­suaian untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana daripada satu juta syarikat yang ada di negara ini, kami cuma sasarkan hanya lima peratus melanggan perkhidmatan ini dan jumlah tersebut akan bertambah pada masa depan.

Dalam masa yang sama, kami menjangkakan segmen perniagaan baharu ini bakal menyumbang kepada hasil syarikat dalam separuh kedua tahun depan kerana terlalu awal untuk melihat sambutan yang diterima, tetapi sehingga sekarang kami berbangga kerana ia telah mendapat permintaan yang baik daripada kumpulan sasaran termasuk syarikat korporat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI