fbpx

Dua dekad Rapid KL penuh bermakna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelbagai perubahan baharu dilaksanakan untuk menambah baik kemudahan pengangkutan awam di negara ini bagi memberi kemudahan kepada semua lapisan masyarakat.

DUA dekad berlalu, bermakna sudah masuk 20 tahun Rapid KL telah menyumbang peranannya melancarkan sistem pengangkutan awam dengan manfaatnya dinikmati oleh rakyat pelbagai latar belakang di negara ini.

Sepanjang 20 tahun itu juga, Rapid KL di bawah pemilikan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) serta dikendalikan anak syarikatnya, Rapid Rail Sdn. Bhd. dan Rapid Bus Sdn. Bhd. telah melalui pelbagai penambah­baikan dan kemajuan dari semasa ke semasa.

Perjalanan yang dilalui Rapid KL dalam tempoh ini juga turut menyingkap 1,001 kisah bukan sahaja dalam kalangan warganya, bahkan pengguna setia menggunakan pengangkutan awam tersebut.

Eksekutif Kanan Bahagian Jaminan Hasil dan Penguatkuasaan Rapid KL, Roslan Kutar, 55, berkata, banyak pengalaman dan perkara baharu dipelajari sepanjang bersama Rapid KL yang mana beliau pernah ditugaskan di bahagian rel dan terkini adalah pengangkutan awam bas.

Roslan

“Saya bermula dengan bas Intrakota, seterusnya ke bahagian rel iaitu PUTRA Line. Apabila Ra­pid KL mengambil alih pengoperasian, saya dinaikkan pangkat sebagai Eksekutif Operasi pada 2010.

“Kini saya bertugas bagi ­pengoperasian bas Rapid KL yang mana fokus kepada penguatkuasaan terhadap televisyen litar tertutup (CCTV) selain pemantauan sikap kapten bas dan penum­pang,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Roslan berkata, antara kenangan tidak dapat dilupakan apabila beliau pernah dihantar oleh Prasarana ke Mekah bagi pengoperasian Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi selama lima bulan pada tahun 2017.

“Sangat mencabar yang mana kami ditugaskan melakukan temu duga seramai 7,000 orang serta memberi latihan kepada petugas yang akan membantu penum­pang sepanjang musim haji. Mereka ini ramai dalam kalangan warga Yemen.

“Bayangkan setiap hari dalam tempoh seminggu ketika bermulanya waktu wukuf, setiap hari stesen dibanjiri antara 380,000 hingga 400,000 jemaah pelbagai negara dan ragam.

“Memang kelam kabut, namun kita memerlukan kesabaran tinggi,” ceritanya mengimbau kisah tersebut.

Bapa enam anak dan datuk tiga cucu itu turut berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakan sewaktu di Stesen LRT Wangsa Maju apabila terlihat seorang ibu ‘tertinggal’ salah seorang anaknya di stesen tersebut.

“Waktu itu saya meronda di bahagian bas dan kemudian pergi ke bahagian tren. Di situlah saya ternampak seorang ibu bersama dua anak kecil yang sudah pun masuk dalam tren. Bagaimanapun, dia meminta seorang anaknya buang sampah dan kanak-kanak itu keluar.

“Pintu tren tutup dan berlalu pergi, manakala kanak-kanak itu menangis. Saya pujuk dia dan maklumkan rakan lain untuk mendapatkan ibunya di stesen berikutnya. Akhirnya kami dapat satukan mereka di Stesen LRT Setiawangsa,” ujarnya.

Soleha

Eksekutif Bisnes Teknologi Maklumat (IT) dan Pendigitan Rapid KL, Solehah Omar, 52, berkata, beliau menyertai Prasarana pada 2002 selepas tamat pengajian dan kemudian ditugaskan ke bahagian IT bagi operasi rel di bawah Rapid KL.

“Kini saya bertugas di bahagian IT untuk bas. Jadi banyak perkara baharu dipelajari apabila sebelum ini saya di bahagian rel dan berpindah ke bas.

“Memandangkan saya sebelum ini di bahagian korporat IT di bahagian rel kemudian tukar kepada bas. Kedua-duanya ada cabaran masing-masing,” katanya.

Ditanya pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Solehah berkata, pasukannya berpeluang mengadakan Data Hackathon 2023 yang mencatatkan keha­diran pengunjung kira-kira 2,000 orang selama dua hari di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan pada tahun lalu.

“Kami bekerjasama dengan bahagian korporat menjayakan acara ini. Memang tak sangka sebab lokasi program ini agak jauh ke dalam dan apabila dihadiri kira-kira 2,000 orang, itu dikira baik.

“Banyak perkara baharu dipelajari lebih-lebih lagi perlu bertemu orang ramai. Sebelum ini, skop kerja kami kebanyakannya adalah di belakang tabir dan tidak bersemuka dengan pelanggan,” katanya.

Mengulas lanjut, Solehah berharap lebih ramai yang menggunakan kemudahan pengangkutan awam Rapid KL kerana bukan sahaja mengurangkan kesesakan, bahkan membantu meningkatkan ekonomi negara.

“Apabila ramai daripada kita memilih menggunakan pengangkutan awam, secara tidak langsung, ia akan menyokong ekonomi negara. Malah, ia juga membantu menjaga persekitaran daripada pencemaran.

“Semakin ramai menggunakan pengangkutan awam Rapid KL, ia juga boleh meningkatkan hasil Rapid KL. Bahkan, saya berharap kerajaan dapat membantu dengan mendidik serta berkempen supaya rakyat menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Fredy

Pengguna ‘tegar’ Rapid KL, Muhammad Fredy Abdullah, 34, berkata, sejak dari zaman sekolah hingga sudah berumah tangga, dia masih setia menggunakan pengangkutan awam termasuk bas dan tren Rapid KL.

“Semasa zaman sekolah dahulu, saya banyak menggunakan bas henti-henti dan ketika itu di bawah syarikat Intrakota serta Cityliner sebelum bergabung sehingga tertubuhnya Rapid KL. Saya masih setia menggunakannya sehingga kini.

“Sepanjang 20 tahun menggunakan khidmat Rapid KL, banyak perubahan dapat dilihat termasuk jadual perjalanan bas, penggunaan bas bertingkat yang memudahkan orang kurang upaya (OKU) menggunakan kerusi roda, bahkan Rapid KL turut memiliki bas elektrik,” katanya.

Muhammad Fredy berkata, kemudahan pas perjalanan tanpa had seperti My50 yang diperkenalkan Rapid KL sangat menjimatkan khususnya kepada pengguna tegar.

Katanya, walaupun mem­punyai motosikal serta kereta, dia masih menggunakan bas dan tren kerana tidak mahu berdepan ke­sesakan selain boleh berehat seketika sepanjang ke destinasi.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pembekal di pasar raya dan kerap menggunakan pengangkutan awam Rapid KL memandangkan lebih mudah. Kemudian saya bertukar kerja di Klang yang dekat dengan rumah serta menggunakan motosikal.

“Bagaimanapun, untuk ke tempat jauh atau bersiar-siar bersama keluarga, kami tetap akan menggunakan bas dan tren, malah anak-anak saya seronok apabila sudah dibiasakan menggunakan pengangkutan awam,” ujarnya.

Sempena ulang tahun ke-20 tahun Rapid KL, Muhammad Fredy turut mendoakan agar Rapid KL bertambah maju di sam­ping memperkenalkan pelbagai lagi produk baharu untuk kemudahan masyarakat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI