PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucapkan selamat menyambut perayaan Krismas kepada masyarakat beragama Kristian di seluruh negara sempena sambutan itu esok.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar perayaan ini membawa keamanan, kemakmuran, perpaduan dan kegembiraan kepada semua yang menyambutnya.
Katanya, baginda bertitah agar semua rakyat tidak gusar dan bersedih kerana tidak dapat meraikan perayaan itu seperti kelaziman ekoran penularan wabak Covid-19.
“Rakyat perlu bersyukur dan bergembira kerana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga walaupun perayaan itu terpaksa disambut dengan pelbagai peraturan serta larangan.
“Rakyat juga diingatkan agar sentiasa berwaspada dan berdisiplin menjagakan keselamatan serta kesihatan diri termasuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya hari ini.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri turut menzahirkan ucapan selamat tahun baru buat seluruh rakyat Malaysia.
“Marilah semua kita tanpa mengira latar belakang sama-sama mendoakan negara ini sentiasa dirahmati dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan kemakmuran yang berkekalan,” ujar kenyataan itu. – K! ONLINE