JAKARTA – Seorang kanak-kanak nyaris dilanggar sebuah motosikal ketika sekumpulan pelancong leka bergambar di tengah jalan raya di Gunungkidul, Jogjakarta, lapor laman berita Detik hari ini.
Berdasarkan sebuah video yang dimuat naik di laman Instagram, kejadian berlaku di Laluan Jalan Lintas Selatan.
Kumpulan individu yang dipercayai sekeluarga, berdiri di tengah jalan untuk merakam gambar ketika jalan raya lengang, sehingga menghalang laluan sebelah kanan.
Sebuah motosikal yang dipandu perlahan menghampiri kumpulan tersebut, namun seorang kanak-kanak tiba-tiba melintas di hadapan kenderaan itu.
“Dua orang rakan saya menaiki motosikal ke arah pantai di daerah Gunungkidul ketika mereka terserempak dengan sekumpulan individu (seperti sekeluarga) sedang leka bergambar di tengah jalan.
“Rakan saya memperlahankan motosikalnya kerana melihat ada ramai orang. Tiba-tiba seorang kanak-kanak berlari menuju ke arah kereta yang diletakkan di seberang jalan.
“Rakan saya menjerit dan menekan brek mengejut. Dia nyaris melanggar budak tersebut,” kata keterangan video itu.
Susulan video tular itu, Ketua Unit Trafik Polis Gunungkidul, Asisten Komisioner Polis Kevin Ibrahim mengingatkan orang ramai bahawa jalan raya bukan tempat untuk pejalan kaki, apatah lagi bagi mereka yang mahu merakam gambar.
“Perbuatan ini sangat membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Kevin selain itu mengingatkan masyarakat agar merakam gambar di tempat yang selamat dan tidak membahayakan nyawa pengguna jalan raya. – AGENSI