AMSTERDAM – Kapten Belanda, Virgil Van Dijk menjadi mangsa kecaman penyokong sendiri selepas mereka tersingkir pada separuh akhir Euro 2024 apabila tewas kepada England minggu lalu.
Antara pihak paling lantang mengkritik pemain pertahanan Liverpool itu adalah personaliti media tempatan yang melabelkan Van Dijk sebagai pemain yang hanya pandai berlindung di bahagian pertahanan.
Bekas pemain profesional, Johan Derksen menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Van Dijk apabila menganggap pemain berusia 33 tahun itu lebih gemar melakukan hantaran ke belakang.
“Anda tahu apakah perkara paling membuatkan saya marah? Ia adalah kapten (Van Dijk) kerana dia sentiasa cuba mengelakkan diri daripada berada dalam masalah, ia sangat mengecewakan,” katanya.
Ramai menganggap Van Dijk tidak berani mengambil risiko dan sentiasa memilih jalan selamat dengan melakukan hantaran ke belakang bagi memastikan dia tidak dimalukan oleh jentera serangan pasukan lawan.
Sementara itu, terbaharu dia juga memberikan gambaran untuk mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa selain membuat keputusan berhubung masa depannya bersama Liverpool pada jendela perpindahan musim panas.
“Saya sentiasa memberikan segala-galanya untuk mencatat kemenangan, namun tidak semua yang diimpikan menjadi kenyataan. Saya akan ambil masa untuk berfikir sebelum buat keputusan mengenai kelab dan pasukan negara,” ujar Van Dijk. – AGENSI