PETALING JAYA – Enggan menjadi mangsa fitnah orang ramai, usahawan sensasi Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red memaklumkan tempoh idah bersama bekas isteri iaitu Sharifah Norshafila Hashim sudah tamat semalam.
Adnan, 46, tidak menyangka tempoh idah tersebut berlalu dengan begitu pantas.
“Hari ini (semalam) berakhir tempoh idah, tamatlah perkahwinan 19 tahun yang kami bina.
“Tidak sangka tempoh idah ini habis dengan cepat. Saya kena umumkan ini kerana takut nanti kalau ada yang nampak dia keluar rumah menimbulkan fitnah pula.
“Selepas ini kalau nampak Fila (Sharifah) keluar berjalan-jalan-jalan, dia bukan tanggungjawab saya lagi,” katanya dalam siaran langsung TikTok semalam.
Katanya, penjelasan tersebut perlu dilakukan bagi mengelak bekas isterinya menjadi mangsa fitnah orang ramai apabila dilihat melakukan sebarang aktiviti luar selepas ini.
Meskipun tiada lagi ikatan, sebagai bekas suami, dia mendoakan Sharifah Norshafila dipertemukan jodoh dengan lelaki yang mampu membahagiakannya satu hari nanti.
“Saya doakan dia semoga bahagia dan berjaya. Kalau dia bertemu jodoh, saya tak boleh buat apa lagi.
“Saya doakan dia jaga batasan, jaga aurat dan paling penting solat lima waktu. Saya pun tak boleh nak pantau, jaga atau tegur dia lagi, pandai-pandailah jaga diri,” jelasnya.
Norshafila yang turut ada bersama ketika itu pula menjelaskan dia telah melalui proses tiga kali suci haid seperti mengikut ketetapan hukum Islam.
Meskipun belum cukup tiga bulan bercerai, namun Sharifah memberitahu kiraan tempoh idah itu mengikut kitaran haid yang dilalui dua kali sebulan.
Terdahulu, Adnan bercerai talak satu dengan Norshafila di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor pada 13 Mei lalu.
Dia berkahwin dengan Sharifah pada tahun 2005 dan mereka memiliki lima orang cahaya mata.
Sebelum Norshafila, dia terlebih dulu bercerai talak satu dengan isteri keduanya iaitu penyanyi, Adira Suhaimi pada 24 April lalu di di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat selepas sembilan tahun hidup bersama dan dikurniakan empat cahaya mata.
Kedua-dua bekas isterinya memilih untuk tidak menuntut sebarang nafkah termasuk harta sepencarian selepas bercerai. – KOSMO! ONLINE