ISKANDAR PUTERI – Seorang pemandu kereta Honda Civic maut manakala tiga penumpang yang lain cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan di Jalan Forest City, di sini malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.50 malam itu, mangsa maut dikenali sebagai Colineric Bruitche, 31.
Tiga rakan mangsa yang dikenali sebagai R Arulmani, 34, R Yogesh, 26, dan K Tanaruban, 33, mengalami kecederaan ringan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penguasa Bomba Kanan II, Hairul Azwii Esrah berkata, pihaknya menghantar 16 anggota bomba dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan kereta Honda Civic dipandu mangsa, dikenali sebagai Colineric Bruitche, 31, bersama tiga rakannya menghala ke Lebuhraya Tanjung Pelepas keluar ke Forest City sebelum hilang kawalan dan terbalik.
“Pemandu tersepit di tempat duduk dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hairul berkata, mangsa yang beralamat di Taman Sejahtera Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dikeluarkan dari kereta berkenaan dalam tempoh kira-kira 10 minit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE