LUMUT – Sebahagian atlet dari kontinjen Perak bagi Sukan Malaysia (Sukma) akan berlepas ke Sarawak seawal 5 Ogos hadapan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di lokasi pertandingan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, antara atlet yang dijangka berlepas pada tarikh berkenaan melibatkan sukan seperti perahu layar.
“Majlis penyerahan bendera negeri dijangka diadakan pada 4 Ogos nanti oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar di apa Ipoh dan ketika itu semua atlet masih ada.
“Kita akan bergerak lebih awal untuk penyesuaian gelanggang seperti perahu layar dan sebagainya. Paling awal atlet bergerak mungkin 5 Ogos sebab tarikh itu adalah untuk penyesuaian gelanggang bagi perahu layar di Miri,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri Lanturn Night Run anjuran Persatuan Minda Sihat Komuniti Manjung di Marina Island di sini.
Pada masa sama, Khairudin menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk menggondol 35 pingat emas pada temasya sukan tersebut sekali gus mengatasi pencapaian Sukma 2022 iaitu 28 pingat emas.
“Jadi pada kali ini kita menyasarkan 35 pingat emas dengan pencapaian ‘top five’ dan dari segi persiapan akhir menjelang Sukma itu nanti, atlet kita pada bulan ini menjalani latihan intensif,” katanya.
Khairudin juga menegaskan, walaupun sukan kombat seperti taekwondo dan karate menjadi kekuatan dan sandaran kerajaan negeri untuk meraih emas, sukan lain turut diberikan perhatian bagi tujuan tersebut.
“Kita tidak meminggirkan sukan-sukan lain kerana kita mengharapkan ada kejutan. Ada ruang dan peluang untuk sukan-sukan lain yang juga boleh memberi impak dan juga pingat emas kepada Perak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, atlet dari kontinjen Perak berada dalam keadaan fizikal yang baik dan tidak dibelenggu dengan sebarang isu kecederaan. – KOSMO! ONLINE