fbpx

Sejarah insiden tembakan Presiden dan calon Presiden Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRUMP diiringi ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia turun dari pentas kempennya di Butler, Pennsylvania. – AFP

WASHINGTON – Tembakan dilepaskan semasa ucapan perhimpunan oleh Donald Trump, dalam kejadian yang dianggap polis sebagai kemungkinan cubaan membunuh bekas presiden berkenaan.

Termasuk Abraham Lincoln dan John F. Kennedy, berikut ialah contoh insiden tembakan melibatkan presiden atau calon Presiden Amerika Syarikat (AS):

Ronald Reagan (1981)

Presiden Reagan ditembak dan cedera parah ketika meninggalkan satu acara di hotel Hilton,  Washington. Penyerangnya, John Hinckley Jr,  diberikan pembebasan tanpa syarat pada 2022.

Susulan insiden tersebut, Reagan menghabiskan masa 12 hari di hospital. Kejadian itu juga meningkatkan populariti Reagan kerana beliau masih berjenaka dan kelihatan ceria sepanjang tempoh pemulihannya.

Gerald Ford (1975)

Presiden Ford tidak cedera dalam dua percubaan berasingan untuk membunuhnya oleh beberapa  wanita pada September 1975. Kedua-dua kejadian berlaku di negeri California dan dalam tempoh hanya 17 hari.

George Wallace (1972)

Ketika berkempen untuk menjadi calon Presiden AS mewakili Parti Demokrat, Wallace ditembak empat kali dan lumpuh seumur hidup dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Laurel, Maryland.

Robert F. Kennedy (1968)

Adik kepada Presiden John F. Kennedy itu yang bertanding untuk pencalonan pilihan raya presiden mewakili Parti Demokrat ditembak dan dibunuh di Hotel Ambassador, Los Angeles, California.

Insiden itu berlaku hanya dua bulan selepas pembunuhan pemimpin hak sivil, Martin Luther King Jr sekali gus memburukkan lagi kemelut politik dalaman AS pada akhir tahun 1960-an.

John F. Kennedy (1963)

Presiden Kennedy dibunuh di bandar Dallas, Texas oleh Lee Harvey Oswald.

Suruhanjaya Warren yang menyiasat pembunuhan itu membuat kesimpulan pada tahun 1964 bahawa Lee Harvey Oswald yang merupakan  bekas anggota  marin dan pernah tinggal di negara Kesatuan Soviet, telah bertindak bersendirian.

Franklin D. Roosevelt (1933)

Roosevelt menjadi sasaran percubaan bunuh  di Miami, Florida. Beliau tidak cedera tetapi Datuk Bandar Chicago, Anton Cermak terbunuh dalam serangan itu.

Theodore Roosevelt (1912)

Seperti Trump, Teddy Roosevelt bertanding untuk White House sebagai bekas presiden apabila dia ditembak di Milwaukee, Wisconsin.

Peluru yang digunakan kekal bersarang di dalam dada sepanjang hayatnya.

William McKinley (1901)

Presiden McKinley ditembak dan dibunuh oleh anarkis,  Leon Czolgosz di Buffalo, New York.

Abraham Lincoln (1865)

Lincoln telah dibunuh oleh pelakon terkenal era tersebut, John Wilkes Booth yang bersimpati dengan negara-negara Konfederasi. Beliau ditembak semasa menonton drama teater berjudul Our American Cousin di Washington.

Serangan Booth, hanya beberapa hari selepas Konfederasi menyerah kalah dalam Perang Saudara, adalah sebahagian daripada plot yang lebih besar yang termasuk percubaan untuk membunuh Naib Presiden Andrew Johnson dan Setiausaha Negara William Seward.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI