KUALA LUMPUR -Tiga individu mengalami kecederaan ringan dalam kejadian kebakaran rumah berhampiran Kuala Lumpur Traders Square, Setapak, di sini, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Boba Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu sekitar pukul 1.16 pagi.
Katanya, seramai 21 anggota dan lima jentera keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP Setapak, BBP Sentul, BBP Gombak Selatan dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan ruangan tempat penyimpanan kasut di hadapan rumah yang terbakar sebanyak 50 peratus.
“Mangsa seramai lapan orang yang juga merupakan penghuni rumah berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, tiga orang mangsa yang mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Kebakaran telah padam sepenuhnya. Punca insiden masih dalam siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.